AHAD, 23 JANUARI – Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam insiden bas meletup di bandar Herat, barat Afghanistan pada Sabtu.
Bom yang dilekatkan pada tangki minyak bas itu turut menyebabkan sembilan orang lagi cedera.
“Empat wanita antara tujuh yang terbunuh,” kata ketua hospital wilayah Herat, Arif Jalali kepada AFP.
Letupan itu disahkan oleh pejabat perisikan Herat.
“Laporan awal menunjukkan ia adalah bom yang dilekatkan pada tangki minyak kenderaan penumpang,” kata jurucakap pejabat itu, Sabit Harwi.
Polis wilayah Herat turut mengesahkan letupan bom itu.
Tahap keselamatan di Afghanistan bertambah baik sejak pemberontakan selama dua dekad oleh Taliban berakhir dengan penawanan ke atas ibu kota Kabul pada Ogos lepas.
Bagaimanapun, beberapa serangan dilaporkan setiap minggu di seluruh negara, termasuk yang didakwa dilakukan kumpulan Daesh.
Herat ialah bandar ketiga terbesar di negara itu, terletak berhampiran sempadan Iran dan kekal aman dalam beberapa bulan kebelakangan ini. – Agensi
-Ismaweb.net