ISNIN, 24 JANUARI – Menghafal Al-Quran adalah amalan yang sangat mulia dan mereka yang menghafalnya akan diangkat darjat menjadi imam.
Pelbagai cara boleh dilaksanakan untuk mengulang kaji hafalan Al-Quran antaranya melalui permainan Global Tahfiz Game yang sangat mudah dan menghiburkan untuk sesi mengulang kaji.
Idea kreatif yang dihasilkan oleh pensyarah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dilihat mampu meningkatkan minat dan motivasi terutamanya pelajar tahfiz untuk menghafal dan mengulang kaji Al-Quran.
Global Tahfiz Game yang dibangunkan oleh Profesor Dr Azman Ab Rahman, Dr Muhammad Hafiz Saleh, Dr Abd Muhaimin Ahmad, Dr Zainora Daud dan Mohammad Anwar Zakaria telah disemak oleh Persatuan Tahfiz Negeri Selangor (PITAS).
Permainan didik hibur ini dihasilkan dengan mengambil masa selama setahun kerana perlu membuat kajian secara terperinci selain mengambil silibus peringkat sekolah dan rujukan dari pakar.
Permainan ini turut membantu dalam aspek pengurusan institusi tahfiz dan meningkatkan kefahaman dari sudut tajwid.
Prof Dr Azman Ab Rahman, Pengasas Global Tahfiz Game berkata :
“Tetapi objektif sebenarnya kita satunya untuk meningkatkan minat dan motivasi untuk ulangkaji sebab satunya dah menghafal lepas menghafal kita nak ulangkaji tu bukan mudah nak mengingat jadi macam mana nak datangkan minat dan motivasi mengulangkaji jadi inilah antara kaedah yang kita bangunkan antaranya permainan yang lebih berbentuk didik hibur interaktif dan sebagainya mungkin lebih memudahkan para pelajar ini lebih mantapkan dan mengingatkan ayat Al-Quran dan sebagainya. Produk ni bukan hanya untuk ulang kaji hafalan tetapi dalam produk ni juga kita ada berkaitan dengan Tajwid dia ada soalan-soalan berkaitan tajwid.”
Permainan ini juga diwujudkan bagi membantu para guru tahfiz sebagai alat mengajar mereka di sekolah.
Beberapa peralatan sampingan disediakan dalam permainan ini seperti kad soalan, kad semakan dan nota untuk mengukur tahap kemampuan pelajar.
“Dalam permainan kita ni kita ada pelbagai soalan untuk mengukur tahap kemampuan pelajar untuk mengulangkaji jadi kita ada sediakan soalan tasmik soalan tasmik ni dari juzuk 1 sampai juzuk 30 jadi bagaimana nak bermain sebelum bermain pelajar ni tentukan kalaulah dia dah hafal juzuk pertama jadi dia ambil juzuk pertama dia letakkan dekat papan permainan jadi dia main juzuk pertama sahaja tetapi kalau dia dah fahal 5 juzuk dia ambil 5 kad juzuk tu dia letak, begitulah seterusnya.”
Bagi anda yang berminat dengan permainan Global Tahfiz Game boleh layari dan hubungi Instagram Global Islamic Game.