ISNIN, 24 JANUARI – Hampir tiga tahun dan selepas memanggil 99 orang saksi, esok akan menjadi tarikh keputusan sama ada bekas Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi – bebas atau perlu membela diri.
Ia berhubung 47 pertuduhan pecah amanah rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akal Budi.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah dijadualkan untuk menyampaikan keputusan pada penghujung kes pendakwaan pada jam 9.30 pagi, 24 Januari.
Presiden UMNO itu, dibicarakan bermula pada 18 November 2019 dan pendakwaan menutup kes pada 19 Mac tahun lalu terhadap dakwaan berkenaan.
Pertuduhan pecah amanah (CBT) didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi pertuduhan CBT, Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016. Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan April 2018.
Ahmad Zahid 68 tahun juga berdepan dengan 40 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara, yang menjadikan beliau berdepan dengan sejumlah 87 pertuduhan semuanya.