JUMAAT, 21 JANUARI – Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua inisiatif ‘Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia-Singapura dibuka semula berkuat kuasa hari ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, buat masa ini kuota tiket yang dijual bermula hari ini akan dikurangkan daripada kuota sedia ada iaitu 50 peratus daripada kapasiti bas dan penerbangan.
Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, bagi penumpang yang telah membeli tiket untuk tarikh perjalanan selepas 20 Januari 2022 sebelum pengumuman penggantungan tiket dibuat, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan menggunakan inisiatif ini mengikut kuota yang telah ditetapkan.
Jelasnya, garis masa berhubung peningkatan kuota jualan tiket ini akan bergantung kepada penilaian risiko yang akan dilakukan dari semasa ke semasa secara berterusan oleh KKM berdasarkan situasi COVID-19 semasa di kedua-dua negara.
Justeru, selaras pengumuman KKM sebelum ini berhubung pengukuhan langkah-langkah pencegahan dan kawalan sedia ada bagi pengembara dari luar negara termasuk melalui inisiatif VTL, adalah diingatkan untuk melaksanakan ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (kendiri) pada hari ke-2, ke-4 dan ke-6 selepas ketibaan.
Tambahnya, ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (professional) perlu dibuat pada hari ke-3 dan hari ke-5 selepas ketibaan.