JUMAAT, 21 JANUARI – Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Agensi-Agensi di Bawah Jabatan Perdana Menteri , mahu mesyuarat membincangkan isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki diteruskan, walaupun Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah membuat keputusan berhubung perkara itu.
Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen berkata pihaknya merayu Pengerusi Jawatankuasa itu Abdul Latiff Abdul Rahman untuk mengadakan mesyuarat berkenaan secepat mungkin, kerana ia adalah isu berkepentingan awam.
William menjelaskan, mesyuarat sekarang ditangguhkan, dan pihaknya sedang menunggu nasihat daripada penasihat undang-undang Parlimen dan merayu kepada Pengerusi untuk mengadakan mesyuarat dengan secepat mungkin kerana ini adalah isu kepentingan awam.
Dimana, jawatankuasa berkenaan perlu bermesyuarat untuk meneliti keseluruhan kes itu, termasuk mengenai jumlah pemilikan saham oleh seorang penjawat awam.
Mesyuarat berkenaan yang dijadual berlangsung semalam, ditangguh ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian berikutan terdapat beberapa isu perundangan yang memerlukan pandangan undang-undang terlebih dahulu, daripada pejabat penasihat undang-undang Parlimen.
Semalam, SC telah membuat keputusan bahawa tiada pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), berhubung akaun dagangan Azam.
Dalam satu kenyataan, SC menjelaskan bukti bebas yang dikumpulkan pada siasatan akaun dagangan Azam menunjukkan, beliau ialah pemegang akaun dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan itu.