JUMAAT, 21 JANUARI – Seperti tidak serik, cubaan menyeludup masuk Pendatang Tanpa Izin, PATI ke perairan negara dilaporkan berlaku pagi, 20 Januari.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, pada jam 3.45 pagi — Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia mengesan satu sasaran curiga sedang bergerak dari perairan Pulau Bintan, Indonesia menuju ke perairan Malaysia.
Bot itu membawa 27 PATI warga Indonesia dan seramai 21 mangsa berjaya ditemui dengan 19 orang selamat terdiri dari 10 wanita serta sembilan lelaki.
Manakala dua lagi mangsa wanita ditemui mati dalam kejadian.Baki enam orang mangsa lagi masih hilang di laut.
MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan OP CARILAMAT pada jam 6.40 pagi bagi mencari baki mangsa yang hilang.
Terdahulu, bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan dua buah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan Tanjung Piai juga di Johor pada 19 Januari.
Dilaporkan bot kayu berwarna biru berserta enam PATI warga Indonesia, tiga lelaki dan tiga wanita berumur di antara 23 tahun hingga 36 tahun.
Kesemua PATI telah ditahan di kedudukan 3.7 batu nautika barat daya Tanjung Piai pada jam 10.45 malam semalam.