KHAMIS, 20 JANUARI – Cadangan pelaksanaan pengajaran bahasa Cina dan Tamil di sekolah kebangsaan (SK) sebagai alternatif untuk memansuhkan sekolah vernakular adalah baik, namun realitinya ia sukar diterima oleh kaum Cina.
Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, syor tersebut pernah diutarakan sebelum ini tetapi tidak popular dalam kalangan pelajar dan ibu bapa, khususnya kaum Cina.
Prof Datuk DR Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata :
“… dimasukkan unsur budaya, bahasa Cina yang lebih dalam sifatnya, rumit sifatnya untuk diajar dan dipelajari. Bahkan, mata pelajaran lain semua diajar dalam bahasa Cina. Itu memperkukuhkan lagi pengetahuan dan pemerkasaan pelajar dalam bahasa Cina,”
Ini kerana, katanya, mata pelajaran bahasa Cina di SK lebih ringkas dan tidak begitu mendalam seperti di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).
Ia bakal menjadi lebih ringkas, dan hanya lebih ke arah pendekatan komunikasi supaya boleh bertutur dalam bahasa Cina.
Katanya lagi, ini tidak akan dipersetujui ibu bapa Cina disebabkan mereka mahukan anak mereka belajar sukatan pelajaran yang lebih bersifat kebudayaan Cina, seperti mana silibus di SJKC yang lebih berat.
Jelasnya, jalan menghapuskan sekolah vernakular adalah sukar dan hampir mustahil, meskipun suatu hari nanti sekolah vernakular tidak lagi menjadi entiti kerajaan, ia tetap akan terus wujud kerana pembiayaan daripada masyarakat Cina tidak akan pernah putus.
Apa yang boleh diusahakan adalah menjadikan ia lebih bersifat nasional dan ia menjadikan masalah utama sekarang dimana sekolah vernakular dilihat sebagai antinasional.
Pada 16 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa kewujudan sekolah vernakular dan sistem pengajaran di sana yang menggunakan bahasa lain selain bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, adalah kedua-duanya sah di sisi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Susulan itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pihak peguamcara kesemua plaintif akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu ke Mahkamah Rayuan.