RABU, 19 JANUARI – Jepun sedia meluaskan perintah sekatan pergerakan COVID-19 meliputi separuh daripada populasi penduduknya susulan penularan varian Omicron yang menyebabkan peningkatan jangkitan kes baharu.
Perdana Menterinya, Fumio Kishida dijangka meluluskan pelan itu secara rasmi selepas ia dimuktamadkan oleh panel pakar kesihatan.
Pelan separa darurat dijangka membenarkan gabenor mengenakan sekatan ke atas pergerakan dan perniagaan, termasuk waktu operasi yang lebih pendek untuk bar dan restoran serta larangan ke atas penjualan alkohol.
Langkah itu sudah dilaksanakan di tiga wilayah bermula Jumaat lalu hingga 13 Februari ini dan akan diperluaskan ke Tokyo serta 12 wilayah lain.
Jepun merekodkan lebih 32,000 kes baharu COVID-19 semalam. Mengikut statistik oleh penyiar nasional NHK, ia melebihi paras tertinggi sebelumnya yang direkod pada Ogos lalu, sejurus selepas Tokyo menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas.
Wilayah barat Osaka mencatatkan 5,396 kes baharu, manakala Tokyo merekodkan 5,185 kes iaitu tertinggi sejak Ogos lalu.
Varian Omicron lebih mudah berjangkit tetapi ia dilihat tahap keseriusannya rendah.
Bagaimanapun, pakar kesihatan awam bimbang gelombang kes Omicron boleh membebankan sistem penjagaan kesihatan negara itu.
Jepun sudah memberi vaksin kepada kira-kira 80 peratus penduduknya terhadap COVID-19, tetapi program suntikan dos penggalak hampir tidak berjaya.
Pada bulan ini, Jepun mengisytiharkan sekatan separa darurat di tiga wilayah yang menempatkan kemudahan ketenteraan Amerika Syarikat (AS), selepas varian Omicron mula menular dalam komuniti.
Kadar penggunaan katil hospital di Tokyo bagi pesakit COVID-19, meningkat kepada 23.4 peratus semalam.
Menurut pihak berkuasa, sekiranya ia terus melonjak sehingga 50 peratus, kerajaan akan mengisytiharkan perintah darurat sepenuhnya. – REUTERS
-Berita Harian