KHAMIS, 20 JANUARI – Pihak berkuasa Hong Kong mengarahkan ribuan hamster diserahkan untuk dilupuskan selepas jangkitan Covid-19 ditemukan terhadap 11 ekor spesies haiwan itu di sebuah kedai haiwan peliharaan.
Lapor The Guardian, perintah itu termasuk haiwan peliharaan yang dibeli beberapa hari sebelum Hari Krismas.
Amaran turut dikeluarkan untuk tidak ‘mencium atau meninggalkan haiwan peliharaan berkenaan di jalanan’ ketika Hong Kong dan China cuba mengekalkan strategi sifar Covid-19.
Menurut pihak berkuasa, jangkitan virus itu dikesan pada 11 hamster daripada 178 haiwan kecil lain termasuk arnab dan chinchillas yang dijual di Little Boss dan gudang berkaitan di Causeway Bay.
Jelas pihak berkuasa, mereka juga sedang menyiasat kes seorang pekerja kedai berusia 23 tahun yang dijangkiti varian Delta, yang jarang dilaporkan di Hong Kong dalam tempoh lebih tiga bulan.
Dilaporkan, dua pekerja juga disahkan dijangkiti Covid-19 termasuk individu yang membersihkan sangkar haiwan dan mengendalikan hamster.
Sebagai tindak balas, pihak berkuasa mengarahkan pemberhentian serta-merta penjualan hamster dan import semua haiwan kecil jenis tikus.
Memetik laporan media tempatan, dianggarkan 2,000 hamster termasuk mana-mana spesies haiwan kecil yang dibeli sejak 22 Disember, perlu diserahkan untuk dilupuskan, manakala pemiliknya juga akan
menjalani ujian saringan Covid-19.
Sementara itu, Setiausaha Kesihatan Hong Kong, Sophia Chan mengakui tiada bukti menunjukkan haiwan peliharaan boleh memindahkan jangkitan Covid-19 kepada manusia.
Namun, katanya, pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga. – AGENSI
-Utusan