RABU, 19 JANUARI – Keutamaan perlu diberikan kepada guru interim yang terlatih untuk ditempatkan ke perjawatan tetap bagi memastikan pengalaman dan kemahiran mereka dapat dimanfaatkan se-maksimum mungkin demi kelangsungan sistem pendidikan negara.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memberikan jaminan terhadap kedudukan guru interim.
Mohd Azizee Hasan, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) berkata :
“Namun, apa yang menyedihkan ialah ketika ini ramai dalam kalangan guru interim tidak dilanjutkan kontrak meskipun mereka sudah menamatkan latihan ikhtisas masing-masing.”
Katanya, pihaknya menerima pelbagai aduan dan mendapat banyak maklum balas berkaitan kedudukan guru interim seperti mana yang hangat diperbincangkan di media sosial.
Pihaknya mendapati tiada kepastian terhadap kedudukan guru interim walaupun mereka sudah lengkap dengan pengalaman dan latihan tetapi kontrak mereka tidak dilanjutkan.
Jelas Azizi lagi pihaknya menggesa KPM mengutamakan guru interim yang terlatih untuk ditempatkan ke perjawatan tetap supaya pengalaman dan kemahiran mereka dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau mengulas mengenai isu guru interim susulan ciapan di Twitter oleh seorang guru interim Bahasa Inggeris yang memohon penjelasan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkenaan isu penamatan kontrak Guru Interim Bahasa Inggeris DC41 ambilan 2019 pada 21 April ini.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menerusi Presidennya Aminuddin Awang, turut kecewa, jika dakwaan guru interim ditamatkan kontrak dan menggesa KPM menyelesaikan segera isu berkenaan dengan baik.