RABU, 19 JANUARI – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat utama dan ruang limpah di semua masjid dan surau, yang mendapat kebenaran solat Jumaat di negeri ini.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan jarak satu meter ditetapkan antara satu jemaah dengan jemaah yang lain.
“Ketetapan baharu ini akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah solat Jumaat di seluruh Selangor sehingga 35 peratus tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau.”
– Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
Beliau berkata, berikutan perkenan terkini daripada Sultan Sharafuddin, satu surat ketetapan mengenainya akan dikeluarkan dan diedarkan oleh JAIS kepada kesemua masjid dan surau terbabit dalam tempoh terdekat untuk dilaksanakan bermula Jumaat ini.
Jelasnya, ketetapan baharu ini akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah solat Jumaat di seluruh Selangor sehingga 35 peratus tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau, berbanding jumlah bilangan jemaah yang dibenarkan melalui ketetapan terakhir JAIS pada 1 November tahun lalu.
Ketetapan baharu ini membabitkan 427 masjid dan surau yang mendapat kebenaran Solat Jumaat.
Shahzihan turut mengingatkan pihak pentadbir masjid dan surau supaya memainkan peranan untuk mengambil pendekatan keseimbangan (wasatiyyah) dalam mengurus pertembungan sikap individu dan jemaah atau masyarakat dalam beberapa perkara berhubung penguatkuasaan SOP yang ditetapkan.