RABU, 19 JANUARI – Kabel dasar laut menghubungkan Tonga yang dilanda gunung berapi dan tsunami dengan seluruh dunia akan mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan untuk dibaiki, kata Kementerian Luar New Zealand.
“Syarikat kabel AS, SubCom memberi anggaran ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya empat minggu untuk membaiki sambungan kabel Tonga,” kata kementerian itu mengenai bencana itu yang memutuskan hubungan komunikasi negara kecil Pasifik Selatan itu dengan seluruh dunia.
Letusan gunung berapi dahsyat di Tonga yang mencetuskan gelombang tsunami di sekitar Pasifik Sabtu lalu, memutuskan kabel dasar laut di dua lokasi.
Pejabat kedutaan asing di ibu negara Tonga, Nuku’alofa menggunakan telefon satelit manakala pengendali telekomunikasi Digicel, yang berusaha memulihkan beberapa perkhidmatan asas liputan telekomunikasi domestik pula melaporkan bahawa kerja menyambung semula komunikasi antarabangsa masih sukar dilaksanakan.
Firma itu berkata, terdapat dua lokasi berasingan kabel telekomuniksai terputus iaitu terletak di 37 kilometer di luar pesisir pulau dan satu lagi adalah kabel domestik berhampiran gunung berapi.
Sebuah kapal pembaikan sedang dalam perjalanan dari negara jiran Papua New Guinea.
Sementara itu, syarikat operator Kacific, yang terbabit dalam pertikaian kontrak dengan kerajaan Tonga sejak gangguan kabel terakhir pada 2019, berkata ia sedia membantu tetapi setakat ini tiada menerima sebarang arahan untuk berbuat demikian.
“Kami masih belum mempunyai hubungan dengan kerajaan (Tonga) untuk membincangkan perkhidmatan kami,” kata Ketua Eksekutif Kacific, Christian Patouraux kepada AFP.
Beliau berkata, syarikat yang berpangkalan di Singapura itu sedia untuk menyediakan rangkaian penuh perkhidmatan jalur lebar satelit di bawah Perjanjian Perkhidmatan Rangka Kerja yang ditandatangani oleh Pihak Berkuasa Tonga pada 2019.
Bagaimanapun, kerajaan Tonga sebelum ini tidak meneruskan kontrak itu dan pertikaian itu kini tertakluk kepada timbang tara di Singapura, katanya.
“Kacific bersedia dan mampu memulihkan ketersambungan kerana perjanjian yang sah dan ditandatangani wujud untuk kesan itu antara kerajaan Tonga dan Kacific.
“Apa yang kami perlukan ialah mengaktifkan perkhidmatan itu dan melaksanakan kontrak itu. Kami kini sedang menunggu arahan.
“Kami mempunyai satu mesej ringkas untuk Kerajaan Tonga. Kami boleh membantu,” kata Patouraux. – AFP
-Berita Harian