RABU, 19 JANUARI – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menamatkan inkuiri berkaitan dengan akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan berdasarkan keterangan yang dikumpul ia tidak dapat membuat penemuan secara konklusif bahawa berlakunya pelanggaran di bawah seksyen 25 (4) SIC DA.
Memetik daripada malaysia kini, kenyataan rasmi SC baru-baru ini, sebagai pengawal selia pasaran modal, bidang kuasa kawal selianya adalah sebagaimana yang terkandung di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SIC DA).
Suruhanjaya itu mengeluarkan kenyataan media tersebut sebagai menjawab pertanyaan media mengenai hasil siasatan SC di bawah seksyen 25 (4) SIC DA berhubung akaun dagangan Tan Sri Azam Baki yang dirujuk sebagai “siasatan tersebut”.
Menurut kenyataan itu lagi, Seksyen 25 (4) menyatakan bahawa suatu akaun dagangan mesti dibuka di atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa.
Dalam perkembangan sama, Tan Sri Azam Baki mengeluarkan kenyataan rasmi semalam bahawa beliau masih memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan menjalankan tugas seperti biasa.