RABU, 19 JANUARI – Penggunaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) berjalan lancar dengan bantuan beberapa petugas PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di lorong sistem berkenaan.
Tinjauan TV Pertiwi di Plaza Tol Bangi, Selangor menuju ke Plaza Tol Sungai Besi kira-kira jam 9 pagi tadi mendapati aliran trafik berjalan lancar.
Di Plaza Tol Bangi, terdapat empat lorong membabitkan tiga lorong Touch n’ Go dan satu lorong RFID di kedua-dua arah dan aliran trafik di semua lorong berkenaan berjalan lancar.
Di Plaza Tol Sungai Besi menghala ke pusat bandar, terdapat 12 lorong membabitkan sembilan lorong Touch n’ Go, dua lorong Smart Tag dan dua lorong RFID.
Sehingga 10 pagi tadi, aliran trafik sehingga ke plaza tol berkenaan lancar, namun di lorong RFID dan Smart Tag bergerak perlahan menyebabkan kesesakan hampir satu meter di laluan kanan lebuh raya terbabit.
Ia susulan kesesakan lalu lintas selepas plaza tol berkenaan kerana jumlah kenderaan yang tinggi menuju ke pusat bandar.
Beberapa petugas PLUS turut dilihat berada di lorong RFID dan Smart Tag bagi membantu kelancaran trafik di lorong-lorong berkenaan.