ISNIN, 17 JANUARI – Suria KLCC menerima kecaman dari warganet berikutan struktur dekorasi Tahun Baharu Cina di luar pusat beli belah berkenaan yang kelihatan seperti ‘Qingming’.
Qingming merujuk kepada “hari membersihkan kubur” atau Cheng Beng oleh etnik Cina.
Penganalisis Politik, Prof. Dr Ridhuan Tee Abdullah turut menyelar tindakan pihak pengurusan menggunakan struktur hiasan seperti pagoda yang didirikan di luar pusat beli-belah itu.
Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah, Penganalisis Politik berkata :
”Adakah kita berada di Hong Kong atau Taiwan? Tidakkah Suria KLCC sedar bahawa kita berada di Malaysia? Walaupun negara ini berbilang bangsa, tetapi berpada-pada,”
Jelas Ridhuan Tee, memang menjadi pantang orang Cina, jika Tahun Baharu mereka dikaitkan dengan kematian.
Justeru itu, apabila berlaku kematian pada hari raya besar itu ibarat sesuatu yang malang.
Beliau turut mempersoalkan kenapa perlu membuat binaan sebesar itu, seolah-olah bukan berada di Malaysia, malah seperti berada di Hong Kong atau Taiwan, bahkan bukan melambangkan Malaysia yang gah dengan menara KLCC.
Katanya lagi, pihak pengurusan perlu ada garis panduan, supaya negara ini ada jati diri dan tidak caca merba.
Jika tidak, bila tiba Tahun Baharu Cina, sesebuah bandaraya atau bangunan mahupun pusat membeli belah akan jadi seperti Hong Kong dan bila tiba Krismas, jadi seperti London.
Justeru, Ridhuan Tee mengharapkan agar semua pihak mencontohi negara Brunei yang juga berbilang bangsa, namun sentiasa memartabatkan agama dan bangsa.