JUMAAT, 14 JANUARI – Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) akan kembali beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega bagi dos penggalak AstraZeneca (AZ) bermula 15 Januari ini sehingga 15 Mac depan.
Menurut Ketua Pegawai Operasinya,, Fauzy Wahab, pembukaan semula itu dibuat selaras dengan visi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mempertingkatkan kapasiti pemberian vaksin dos ketiga.
Beliau berkata, pemberian dos penggalak AstraZeneca itu hanya akan diberikan kepada mereka yang menerima temu janji vaksinasi melalui aplikasi My Sejahtera atau khidmat pesanan ringkas (SMS) sahaja.
Sementara, pemberian secara walk-in tidak lagi dibenarkan.
Tambah Fauzy, penerima vaksin dinasihatkan membawa pen sendiri untuk mengisi borang kebenaran sebagai usaha bersama untuk meminimumkan sentuhan fizikal.
Jumlah kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 3,684 kes.
Memetik hantaran di akaun Twitter oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Doktor Noor Hisham Abdullah, penambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dalam negara sebanyak 2,798,917 kes.
Untuk pecahan kes mengikut negeri-negeri selengkapnya, boleh merujuk ke laman web https://covidnow.moh.gov.my/