JUMAAT, 14 JANUARI – Dalam dunia pendidikan masa kini yang pelajarnya berdepan dengan pelbagai cabaran – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menolak cadangan atau mengurangkan subjek Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan.
Presidennya Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata penekanan subjek Pendidikan Islam di sekolah perlu diberi keutamaan dengan menekankan aspek amali dan teori bagi mengukuhkan jati diri pelajar.
Beliau berkata, ancaman keruntuhan moral dan pemikiran liberalisasi boleh menghambat akidah dan keimanan generasi pelajar hari ini kerana pelajar terdedah dengan pelbagai risiko masalah disiplin dan keruntuhan akhlak.
Ustaz Mohd Azizee Hasan, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) berkata :
“Lagipun kita melihat cabaran yang dihadapi generasi pelajar hari ini berdepan dengan pelbagai ancaman khususnya berdepan dengan masalah disiplin, masalah keruntuhan akhlak masalah cabaran pemikiran liberalisasi ini semua akan mengancam jati diri pelajar jadi subjek pendidikan Islam ini relevan dan peril dilihat supaya lebih kepada menekankan aspek amali dan teori dan kita lihat penting subjek ini untuk memenuhi aspirasi falsafah pendidikan kebangsaan untuk membina generasi yang holistic dari segi jasmani emosi, rohani dan intelek.”
Sehubungan itu, Ustaz Azizee mencadangkan satu jawatankuasa khas pendidikan Islam ditubuhkan kerajaan bagi mengkaji semula subjek agama itu adakah mencukupi waktu yang diajarkan, kandungan dalam silibus dan keperluan semasa.
“Dalam hal ini saya harap perlu ada satu jawatankuasa khas untuk melihat semula kurikulum pendidikan islam yang diajar sebab kita lihat kita mahu pendidikan islam ini menjadi subjek yang benar-benar membangunkan ilmu dalam diri pelajar tersebut ia menjadi benteng dalam kita berdepan dengan cabaran pendidikan yang lebih mencabar khususnya berdepan dengan revolusi 4.0 jadi kita nak pelajar pendidikan islam ini memberikan impak kesan dari segi pengukuhan jadi diri berdepan dengan cabaran masa kini.”