KHAMIS, 13 JANUARI – Orang ramai disarankan melihat isu yang lebih besar iaitu pelakuan merasuah dan mereka yang bersekongkol berbanding memandang serong terhadap penjawat awam.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, lebih baik tindakan diambil terhadap ketua-ketua sindiket haram yang selalu merasuah dan yang bersekongkol serta memberi sumbangan dana kepada pihak politikus.
Menerusi ciapan di akaun Twitter milik beliau berkata, jika media sosial disalah guna akan mendatangkan masalah kepada keselamatan diri serta boleh dimanipulasi oleh mereka yang tidak bertanggung jawab yang akhirnya akan mendedahkan keaiban diri.
Tambahnya, tidak semua penjawat awam korup, justeru mereka yang mempunyai integriti dan berani bertindak perlu dipilih mengisi jawatan ini.
Malah, mereka perlu mendapat sokongan dari pemerintah jika benar mahu memulihkan keadaan.
“Pihak-pihak berani membuat tuduhan liar dan fitnah di media sosial kerana tidak ada pengenalan yang sebenar. Ia agenda pihak tertentu mewujudkan persepsi negatif bagi merosakkan kredibiliti.”
-Tan Sri Musa Hassan, Bekas Ketua Polis Negara
Dalam pada itu, Musa Hassan berkata ada pihak berani membuat tuduhan liar di media sosial kerana tidak mendedahkan diri mereka yang sebenar.
Oleh itu, penguatkuasa atau mangsa tidak dapat mengambil tindakan kerana tidak tahu identiti mereka yang sebenar dan ia adalah agenda pihak tertentu unutk mewujudkan persepsi negatif bagi merosakkan kredibiliti.
Kenyataan itu dikeluarkan Musa Hasan tanpa merujuk mana-mana pemilik akaun Twitter.