
( Tular sebuah video, pencuri dimandikan kerana mencuri tabung masjid / sumber : sinar harian)
KHAMIS, 13 JANUARI – Penceramah dan pendakwah bebas, Syed Mohd. Bakri Syed Ishak menyifatkan tindakan memandikan seorang lelaki yang disyaki mencuri tabung masjid di tempat mandi jenazah, seolah-olah memperlihat seperti agama Islam membenarkan berbuat zalim kepada umatnya walaupun sebenarnya tindakan itu untuk menyedarkan si pencuri.
Menerusi akaun rasmi Instagramnya, Syed Mohd. Bakri yang juga Pencetus Ummah berkata, tidak perlu menviralkan video seperti itu kerana dikuhuatiri jika ada yang salah faham terhadap tindakan tersebut.
Katanya, memang nampak kasihan terhadap lelaki itu kerana dilayan seperti pencuri yang mencuri ‘jutaan’ ringgit.
Rakaman video yang tular itu memaparkan lelaki tersebut menutup mukanya dengan tangan dan dibaringkan sambil disiram air oleh seseorang yang dipercayai sebagai imam dan badannya dilumur dengan kapur barus di tempat mandi jenazah sebuah masjid.
Tindakan tersebut dilakukan kerana lelaki itu disyaki mencuri tabung masjid.
Menjengah ruangan komen, rata-rata warganet bersetuju dengan pendapat Syed Mohd. Bakri dan rasa kasihan dengan lelaki tersebut yang dilayan seperti itu.
“Betul itu. Sebab orang khususnya orang bukan Islam tidak akan pandang imam yang berbuat zalim, tapi orang akan pandang yang Islam itu mengajar untuk berbuat zalim. Padahal tindakan imam itu sembur air dengan pukul guna getah paip itu tidak mencerminkan cara Islam. Sila cabut dulu serban imam,” kata @DoNarha14.
“Saya bersetuju dengan ustaz. Tetapi itulah, maaf cakap jika macam ini perangai apabila jadi ahli masjid rasa dirinya adalah seperti ‘ahli syurga’. Tempat saya begini juga, ada ahli masjid yang tetap suka perli orang yang jarang ke masjid. Ada satu surau di sini juga, hanya orang yang pernah pergi haji atau umrah boleh berjemaah bersama,” kongsi @FairuzAMansor.
Seorang pengguna Twitter, @fromSHIDALEN berkata, ahli masjid dan imam tersebut perlu memberi pengajaran yang baik bukan hukuman yang memalukan dan jatuhkan maruah pesalah.
“Betul itu ustaz, aib budak itu janganlah dibuat macam itu. Tahu dia salah tetapi Islam bukan kejam macam ini,” kata @watyCheAnin
– UTUSAN ONLINE