KHAMIS, 13 JANUARI – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memfailkan saman fitnah RM 10 juta , di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam.
Dalam satu kenyataan media oleh peguam beliau, Megat Abdul Munir berkata, saman dibuat berikutan surat tuntutan yang dikeluarkan pada 6 Januari lalu tidak mendapat sebarang respons daripada wanita tersebut berhubung artikel ‘Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?’.
Selaku plaintiff, Azam menuntut perintah mahkamah supaya Lalitha memadam kenyataan atau artikel berkenaan dalam masa tiga hari dari tarikh penghakiman serta permohonan maaf secara terbuka.
Beliau menegaskan, tajuk artikel tersebut adalah sensasi, bersifat skandal, menjengkelkan dan menjelekkan.
“Ini kerana artikel tersebut telah didrafkan, diterbitkan dan diterbitkan semula dengan niat jahat (malice and mala fide) bagi memberikan kesan dan gambaran yang amat buruk kepada pembaca.’’
– Tan Sri Azam Baki
Tambahnya dalam erti kata lain, kenyataan fitnah artikel tersebut diterbit dan diterbitkan semula tanpa membuat sebarang pengesahan fakta secara terus atau memberi peluang kepada plaintif untuk mengemukakan maklum balas terlebih dahulu.
Menerusi artikel tersebut, plaintif mendakwa Lalitha sebagai defendan, memfitnah beliau dengan membuat kesimpulan bahawa plaintif adalah seorang penjawat awam yang korup.
Artikel itu juga mendakwa plaintif menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai tinggi SPRM bagi tujuan kepentingan sendiri dan atau adik-beradiknya.
‘’Tindakan Lalitha yang menerbit dan menerbitkan semula kenyataan media peguam defendan tersebut katanya, merupakan cubaan untuk membuatkan plaintif dibicarakan melalui media dan memenangi persepsi orang awam.’’
Lalitha sebelum ini juga mendakwa Azam mempunyai konflik kepentingan dalam pemilikan saham beberapa syarikat mencecah jutaan ringgit namun dinafikan teraju utama SPRM itu dalam satu sidang media khas.