KHAMIS, 13 JANUARI – Lima individu termasuk mereka yang pernah mendapatkan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu dari sebuah klinik swasta di Marang bersedia menjadi saksi kes berkenaan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kesemua mereka tampil secara sukarela bagi membantu siasatan kes penjualan sijil vaksinasi itu.
Datuk Rohaimi Md Isa,Ketua Polis Terengganu berkata :
“Kita berharap lebih ramai individu tampil secara sukarela bagi membantu siasatan kerana kita tidak mampu mengesan kesemua yang terbabit.”
Beliau berkata, setakat ini siasatan berjalan lancar dan pihaknya bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Terengganu untuk membuat semakan menerusi MySejahtera.
Jelasnya, lima saksi memberi persetujuan menjadi saksi dalam kes ini yang mana mereka mengaku tidak divaksin tetapi mendapat kad vaksin untuk suntikan pertama.
Ada antara mereka ini memberi persetujuan melalui telefon dan mengaku baru menerima suntikan pertama dan akan buat semakan selepas ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini.
Media sebelum ini melaporkan polis Terengganu membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan (temu janji) vaksinasi.