RABU, 12 JANUARI – Polis Diraja Malaysia sedang mendapatkan pengesahan mengenai penangkapan suspek pembunuh imam Palestin Dr Fadi al Batsh di ibu negara pada tahun 2018.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pada masa ini, perkara itu sedang diusahakan bagi membolehkan suspek berkenaan diekstradisi ke negara ini.
Hujung Minggu lalu, Kementerian Dalam Negeri di bawah Hamas, dipetik berkata suspek pembunuhan Fadi al-Batsh telah ditahan.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Iyad al-Buzom memberitahu sidang akhbar di Bandar Gaza bahawa suspek mengaku beliau direkrut ejen perisikan Zionis, Mossad.
Pengesahan juga didapatkan daripada Kementerian Luar Malaysia, Kedutaan Palestin di Malaysia dan Polis Antarabangsa (Interpol).
Pada 21 April 2018, Allahyarham Dr. Fadi, Pakar kejuruteraan elektik dalam penghasilan roket dan bertugas sebagai tenaga pengajar di UniKL, ditembak 10 kali berhampiran rumahnya di Kuala Lumpur selepas pulang dari solat Subuh.
“Pembunuh As-Syahid Fadi Al Batsh di tangan badan keselamatan di Gaza. Dia (suspek) masuk ke Gaza dan memerlukan duit lalu menghubungi pegawai yang mengaturnya dan memberinya tanggungjawab untuk membunuh Fadi Al Batsh (Dr. Fadi) maka dia ditanya pegawai, kau berada di mana? Dia menjawab aku di Gaza, lalu pegawai naik gila bagaimana dia masuk ke Gaza (sebab akan tertangkap), pengintip dikejutkan apabila alat pengintipan bahagian perisikan Gaza menangkap butir bicara mereka lalu terus pergi menangkapnya, dan dengan izin Allah dia mengaku melaksanakan operasi di Malaysia bersama orang kedua dengan arahan Mossad. ‘’
Pembunuh tersebut telah diberkas oleh pihak berkuasa Gaza setelah intipan dilakukan ketika dia menuntut pembayaran upah dari pihak Israel.
Terdahulu rakyat Malaysia di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menterjemah mesej berbahasa Arab yang diterimanya mengenai berita penahanan ejen Israel tersebut.
Pembunuh dipercayai memasuki Malaysia dengan menggunakan pasport palsu dari Serbia dan Montenegro dan kemudian melarikan diri melalui laluan tikus di sempadan Malaysia.
Bapa Allahyarham mahu pembunuh anaknya menerima hukuman mati setelah diadili.