RABU, 12 JANUARI – Perintah reman terhadap seorang doktor swasta yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 disambung sehingga Khamis ini.
Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu.
Lanjutan reman itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Terdahulu, suspek yang ditahan pada Sabtu lalu direman selama tiga hari sehingga hari ini.
Kelmarin polis Terengganu membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan temu janji vaksinasi.
Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang membawa kepada penahanan suspek pada Sabtu.
Siasatan awal mendapati, klinik berkenaan dilantik sebagai salah satu Pusat pemberian vaksin bagaimanapun doktor berkenaan didakwa tidak memberi sebarang suntikan vaksin dan melengkapkan borang vaksin.