SELASA, 11 JANUARI – Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang menyatakan kesediaan beliau untuk disiasat mana-mana organisasi berhubung kenyataannya pada 5 Januari lalu.
Ia berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Beliau juga menyerahkan kepada budi bicara mutlak kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukannya sebagai pengerusi LPPR.
Tan Sri Abu Zahar Ujang, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berkata :
“…sukacita saya menegaskan saya bersedia untuk mana-mana pihak menyiasat saya pada bila-bila masa. I have nothing to hide kerna apa yang saya tekankan ini demi Allah benar belaka…”
Abu Zahar berkata, beliau dan mana-mana ahli lembaga pengarah tidak mempunyai niat untuk menghalang penyiasatan terhadap Azam Baki yang telah terbabit dalam kontroversi saham katanya menerusi sidang media khas hari ini.
Tambahnya, beliau amat menyedari bahawa LPPR tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat salah laku jenayah oleh pegawai SPRM.
Dalam pada itu, Abu Zahar turut menyatakan kekecewaan-nya dengan kenyataan enam anggota lembaga itu yang menjauhkan diri daripada kandungan kenyataan media pada 5 Januari, dipercayai dilakukan atas dasar reaksi tidak popular daripada segolongan pihak.