ISNIN, 10 JANUARI – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, membalas kritikan dilontarkan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, terhadap beliau dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Doktor Noor Hisham Abdullah dalam mengendalikan pandemik COVID-19 di negara ini.
Dalam penjelasannya, Khairy mengakui pendekatan China seperti dibangkitkan King Sing, berkesan dalam mengawal penularan COVID-19, namun strategi negara itu adalah pembendungan atau sifar COVID, bermaksud — Sekatan pergerakan dibuat sepenuhnya walaupun hanya ada tiga kes positif.
Beliau menegaskan yang Malaysia tidak mampu melaksanakan pendekatan sama seperti dilaksanakan China, berikutan kekangan ekonomi dan aspek kebajikan rakyat.
Katanya Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk ‘lockdown’.
Dalam lontaran tweet Khairy menambah, Ini bermaksud, kita mengurus kes positif dengan berkesan, meningkatkan vaksinasi, jaga prosedur operasi standard (SOP), tanda pagar, #TRIIS iaitu ‘test, report, inform, isolate and seek’ agar kadar kematian, penggunaan unit rawatan rapi (ICU) dan kemasukan ke hospital menurun.
Dalam ciapannya juga, Khairy mempertahankan Doktor Noor Hisham dalam menggalas tanggungjawabnya.
Sebelum ini, King Sing mempersoalkan sama ada Khairy mempunyai strategi jelas untuk berdepan dengan senario terburuk, selain memuji pendekatan yang dilaksanakan China dalam menangani wabak itu.
Beliau turut mempersoalkan kelayakan Doktor Noor Hisham, sama ada beliau ialah individu terbaik untuk menerajui usaha negara memerangi varian Omicron kerana Doktor Noor Hisham dikatakan ialah seorang pakar bedah dan bukan pakar kesihatan awam.