ISNIN, 10 JANUARI – Bandar Tianjin di utara China menyarankan hampir 14 juta penduduknya untuk kekal di rumah ketika saringan COVID-19 besar-besaran dilaksanakan.
Saringan itu susulan 165 kes baharu COVID-19 dikesan di China dalam tempoh 24 jam baru-baru ini termasuk dua kes yang berpunca daripada varian Omicron.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Kesihatan Nasional hari ini, daripada jumlah itu, 92 kes adalah penularan tempatan, kebanyakan dilaporkan di wilayah Henan dan Shaanxi.
Suruhanjaya itu juga memaklumkan, Tianjin kini menjadi lokasi baharu yang mencetus kebimbangan selepas lebih 20 kes COVID-19 dilaporkan dalam beberapa hari lalu, dengan kebanyakannya kes import.
Media negara itu melaporkan, kes berkenaan merangkumi sekurang-kurangnya dua varian Omicron serta 15 jangkitan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.
Bandar berhampiran Beijing itu melancarkan saringan besar-besaran awal hari ini, dengan menasihatkan penduduk kekal atau berada berhampiran kediaman masing-masing supaya sedia untuk menjalani saringan peringkat komuniti.
Penduduk Tianjin dimaklumkan bahawa aplikasi pengesanan kontak COVID-19 dalam telefon pintar mereka tidak akan bertukar hijau selagi tidak mendapat keputusan negatif dalam ujian saringan berkenaan.
Setakat ini, China yang menjadi lokasi pertama kemunculan COVID-19 pada 2019, hanya melaporkan sejumlah kecil kes Omicron.
Pihak berkuasa China juga sedang bergelut dengan pusat penularan lebih besar di bandar Xi’an, yang mencetus persoalan mengenai dasar sifar tolak ansur dalam pelaksanaan perintah berkurung serta pelaksanaan saringan besar-besaran.
Mereka antara lain berdepan rungutan penduduk Xi’an berhubung pengurusan perintah berkurung yang kucar-kacir, termasuk kekurangan akses pada makanan dan keperluan harian.
Bandar itu turut berdepan beberapa isu yang tular di media sosial, antaranya kes keguguran dialami seorang wanita yang mengandung lapan bulan selepas tidak dibenarkan masuk ke hospital tanpa menjalani ujian saringan COVID-19. – AFP
Tiada kes kematian baharu dilaporkan di China, menjadikan jumlah kumulatif di negara itu kekal kepada 4,636 maut dengan 103,619 kes positif setakat ini. – AGENSI
-BeritaHarian