JUMAAT, 7 JANUARI – Peranan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dalam isu dakwaan pemilikan saham oleh Tan Sri Azam Baki bukannya bertujuan membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.
Menegaskan perkara itu, Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata pihaknya juga tiada kuasa untuk berbuat demikian.
Tan Sri Abu Zahar Ujang, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berkata :
“Saya setuju bahawa LPPR tiada kuasa untuk membersihkan nama Tan Sri Azam. Kami hanya meminta beliau memberi penjelasan yang sebenar-benarnya di atas segala tuduhan berkenaan saham-saham yang dibangkitkan,”
Memetik laporan Berita Harian, Abu Zahar berkata, tujuan panel lembaga itu memanggil Azam pada 24 November lalu adalah untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan berkenaan yang tular di media sosial kerana ia menimbulkan pandangan negatif terhadap SPRM.
Mengulas lanjut, beliau berkata LPPR tidak akan melindungi mana-mana pegawai suruhanjaya berkenaan yang terbabit dalam kesalahan undang-undang khususnya rasuah dan salah guna kuasa.
Pada Rabu lalu, Abu Zahar dalam sidang media khas menyatakan LPPR yang juga satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM, mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.
Katanya, LPPR dalam mesyuarat khas pada 24 November lalu mendapatkan penjelasan Azam dan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menjelaskan bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membeli saham pada 2015.