JUMAAT, 7 JANUARI – Perbandaran Israel di Baitulmaqdis Barat terus merobohkan kediaman milik rakyat Palestin di bahagian dijajah, yang turut membabitkan sebuah rumah di kejiranan Silwan di sempadan selatan Masjid al-Aqsa atas alasan dibina tanpa permit.
Menurut agensi berita WAFA, tentera Israel mengepung kawasan milik Sultan Halisi di kawasan Wadi Hilweh di Silwan, sebelum kakitangan majlis perbandaran meneruskan tindakan meroboh rumah itu.
Halisi berkata beliau telah tinggal di rumah seluas 60 meter persegi itu bersama isteri dan empat anaknya yang berusia 13 tahun hingga 6 tahun sejak 2014.
Sejak itu, perbandaran Israel telah mengganggunya berhubung dakwaan pembinaan rumah tanpa permit selain turut didenda sebanyak sepuluh ribu dolar.
Katanya, sepanjang tahun lalu pihak berkuasa pendudukan mengarahkannya untuk merobohkan sendiri rumah itu tetapi beliau enggan melakukannya.
Akibatnya majlis perbandaran Israel semalam mula merobohkan rumah berkenaan dan turut mengenakan bayaran kepada pemilik sebagai kos perobohan itu yang dianggap melampau.