JUMAAT, 7 JANUARI – Korea Utara berjaya menguji peluru berpandu hipersonik, dalam ujian pertama seumpama itu oleh negara bersenjata nuklear itu tahun ini, menurut media kerajaan.
Ujian peluru berpandu itu dikatakan tepat mengenai sasaran sejauh 700 kilometer, kata Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Difahamkan, ia adalah ujian kedua Korea Utara mengenai peluru berpandu hipersonik, senjata canggih sekali gus menandakan kemajuan teknologi terkini dalam pembuatan senjata nuklear di negara itu.
Peluru berpandu hipersonik bergerak jauh lebih pantas dan lebih tangkas daripada peluru berpandu normal, menjadikannya lebih sukar untuk sistem pertahanan peluru berpandu memintasnya.
“Ujian berkenaan turut mengesahkan semula kawalan penerbangan dan kestabilan peluru berpandu dalam peringkat penerbangan aktif dan menilai prestasi teknik pergerakan sisi baharu yang digunakan pada peluru berpandu hipersonik,” kata KCNA.
Pelancaran itu juga mengesahkan ketahanan sistem peluru berpandu dalam keadaan cuaca musim sejuk.
Seoul dan Tokyo semalam mengesan pelancaran peluru berpandu balistik yang disyaki dari Korea Utara yang jatuh di laut timur semenanjung Korea.
Amerika Syarikat mengecam pelancaran itu, dan menggesa Pyongyang untuk berbincang.
“Ujian peluru berpandu ini juga melanggar beberapa resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan menimbulkan ancaman kepada negara jiran dan masyarakat antarabangsa,” kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat. – AFP
-Berita Harian