JUMAAT, 7 JANUARI – Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa negeri yang terjejas terus menunjukkan trend penurunan tengah hari ini.
Di Pahang, jumlah mangsa banjir terus berkurangan tengah hari ini apabila Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan seramai 1,171 orang ditempatkan di pusat pemindahan berbanding 1,369 individu pagi tadi.
Kesemua mangsa daripada 322 keluarga itu ditempatkan di 30 PPS di daerah Bera, Rompin, Pekan, Maran dan Temerloh.
Selain itu, beberapa jalan masih ditutup antaranya Jalan Bohor Baru dan Jalan Kemayan-Tembangau di Bera, Jalan Ibam-Kampung Aur dan Jalan Kampung Lubuk Batu (Rompin), Jalan Teluk Ganchong Lepar (Pekan) manakala di Maran melibatkan Jalan Serengkam dan Jalan Pekan Sehari Kampung Awah.
Di Negeri Sembilan, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan mangsa banjir menurun kepada 472 individu membabitkan 113 keluarga dengan empat PPS dibuka setakat tengah hari berbanding 506 individu (124 keluarga) pagi tadi.
Di melaka, jumlah mangsa banjir turut menurun kepada 451 orang daripada 123 keluarga pada 12 tengah hari berbanding 466 orang daripada 128 keluarga pada 8 pagi tadi.