JUMAAT, 7 JANUARI – Aras air di enam sungai iaitu Pahang dan Johor melepasi tahap bahaya, dengan sekurang-kurang satu sungai menunjukkan trend meningkat setakat pagi tadi.
Berdasarkan maklumat Portal Public InfoBanjir bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai di Johor mencatat amaran merah membabitkan Sungai Muar di Liang Batu, Muar; Sungai Muar di Panchor; dan Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar.
Bagaimanapun, kedua-dua paras air di Sungai Muar serta Sungai Pagoh itu menunjukkan trend menurun ketika bacaan direkodkan, setakat pagi tadi.
Di Pahang, aras air Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan, merekodkan bacaan 16.25 meter (m), melebihi paras bahaya 14.9m tetapi kini dalam trend menurun.
Manakala aras air Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera, Bera, melepasi tahap bahaya dengan aras air setinggi 26.45 meter, dan menunjukkan trend menurun setakat pagi tadi.
Sementara itu, tujuh sungai di tiga negeri melepasi tahap amaran atau jingga, iaitu satu di Pahang, Johor (empat) dan Melaka (dua).
Sungai berkenaan ialah Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran, Pahang; Empangan Bekok, Batu Pahat; Sungai Muar, Segamat; Sungai Kesang dan Sungai Tangkak, Tangkak; Sungai Kesang, Jasin; dan Sungai Melaka di Melaka Tengah.