JUMAAT, 7 JANUARI – Sekurang-kurangnya 13 orang maut termasuk tujuh kanak-kanak dalam kebakaran di sebuah rumah tiga tingkat yang diubah suai menjadi pangsapuri, di Philadelphia, Pennsylvania, pada Rabu, lapor Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan.
Jabatan Bomba Philadelphia menerusi ciapan Twitter berkata, anggota bomba tiba di bangunan blok utara 800, 23rd Street pada 6.40 pagi waktu tempatan dan mendapati api merebak dari tingkat dua bangunan itu.
Pihaknya mengambil masa 50 minit untuk mengawal keadaan tetapi kebakaran masih aktif, katanya.
Timbalan Pesuruhjaya Bomba Philadelphia, Craig Murphy dalam sidang akhbar berkata, tujuh daripada 13 orang yang terkorban adalah kanak-kanak, menyifatkan kejadian itu sebagai antara tragedi kebakaran paling buruk pernah dilihatnya.
Terdapat empat alat pengesan kebakaran di dalam bangunan itu tetapi tiada satu pun berfungsi, katanya.
Seramai 26 penghuni ketika kejadian berlaku, dan jumlah kematian boleh meningkat.
Anggota bomba berkata, dua mangsa yang cedera kini dalam keadaan kritikal.
Siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca kebakaran.
Murphy enggan mendedahkan butiran siasatan yang diketuai pejabat Marsyal bahagian kebakaran Philadelphia. – Bernama