
(Pemuda PAS Kelantan, Mohd Kamal Mohamad berkata yakin dan berpegang kepada Islam sebagai asas penyatuan dalam kehidupan/ sumber : TV Pertiwi)
KHAMIS, 6 JANUARI – Pemuda Pas Kelantan berharap hubungan parti itu dengan UMNO Kelantan dalam Muafakat Nasional (MN) diperkukuhkan selari dengan hasrat penyokong akar umbi kedua-dua parti.
Ketuanya, Mohd Kamal Mohamad berkata, persetujuan untuk mengadakan pertemuan pada 22 Januari ini juga membuktikan keseragaman dalam penyatuan ummah antara kedua-dua pihak.
Mohd Kamal Mohamad, Pemuda PAS Kelantan berkata :
“Selagi kita berpegang kepada Islam sebagai asas penyatuan, kami yakin MN akan terus subur dan dibimbing oleh Allah swt”
Kamal berharap semuanya berjalan dengan baik dan kembali memperkukuhkan MN memandangkan setiap sayap kedua-dua parti ini memainkan peranan penting sebagai pendukung dan ejen pengukuh MN, bukan sebagai pemanas suasana.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai hasrat UMNO negeri dan Pas Kelantan yang dijangka mengadakan pertemuan pada 22 Januari ini bagi membincangkan dengan lebih lanjut kerjasama antara kedua-dua pihak terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pada awalnya menghantar surat rasmi kepada Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengenai hasrat untuk mengadakan pertemuan tersebut.