
(Jumlah mangsa banjir di Negeri Sembila, Melaka dan Pahang / sumber : TV Pertiwi)
KHAMIS, 6 JANUARI – Keadaan banjir di tiga negeri dilaporkan semakin baik apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menunjukkan pengurangan pagi ini.
Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Johor dan Sabah meningkat sedikit pagi ini berbanding malam tadi.
Di Negeri Sembilan, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan mangsa banjir menurun kepada 506 individu membabitkan 124 keluarga dengan lima PPS dibuka setakat 8 pagi tadi berbanding 589 individu melibatkan 148 keluarga, malam tadi.
Di Melaka, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 466 orang daripada 126 keluarga pada pukul 8 pagi berbanding 468 mangsa daripada 128 keluarga pada pukul 8 malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 14 kawasan di Jasin.
Sementara itu, di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan masih terdapat seramai 1,369 mangsa banjir di 30 PPS melibatkan lima daerah pagi ini, sekali gus menunjukkan penurunan berbanding malam tadi dengan 1,491 mangsa.