KHAMIS, 6 JANUARI – Turut mengulas isu berkenaan ialah Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya.
Sudah lali dengan sikap ‘rakus’ Dong Zong itu, beliau berkata, pertubuhan berkenaan akan berusaha mendapatkan manfaat daripada kerajaan, dan kesempatan itu pastinya digunakan kerana tahu pemerintahan kini yang tidak stabil dan memerlukan undi daripada kaum Cina.
“Keputusan mahkamah masih dalam rayuan, lagipun interpretasi bahawa sekolah vernakular bukan ‘public entity’ memberikan gambaran bahawa mereka adalah hak ‘private’. Jika hak ‘private’, maka adakah mereka ini layak mendapatkan bantuan kerajaan? Ini persoalan yang masih tidak terjawab,”
– Aminuddin Yahaya, Pengerusi PEMBELA
Justeru, katanya, Dong Zong yakin kerajaan akan terus melayani karenah mereka walaupun sudah jelas pertubuhan itu mempunyai agendanya yang tersendiri.
Atas dasar itu, beliau meminta kerajaan melihat isu berkenaan dalam skop yang lebih luas, khususnya membabitkan masalah perpaduan dalam Keluarga Malaysia.
Dan ia bukan hanya melihat pada kehendak pihak-pihak tertentu sahaja, kerana sekiranya perkara itu berlaku makan sampai bila pun negara tidak akan ke mana-mana, ujar beliau.
Pada 29 disember lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah berkenaan tidak bercanggah Perlembagaan.
Keputusan dibuat Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas menolak saman Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).
“Penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular tidak melanggar Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (hak kesamarataan), Perkara 10 (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan), Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 12 (hak berkenaan pendidikan) Perlembagaan Persekutuan. ‘’ – Penghakiman kes keabsahan sekolah vernakular (29 Disember 2021)
Dalam penghakimannya, Mohd Nazlan berkata, penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular tidak melanggar Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (hak kesamarataan), Perkara 10 (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan), Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 12 (hak berkenaan pendidikan) Perlembagaan Persekutuan.
“Sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan berdasarkan latar belakang sejarah serta perundangan Perkara 152 (Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan) serta niat pihak yang menggubal perlembagaan ketika itu, penggunaan selain Bahasa Melayu bagi pengajaran di sekolah vernakular bukan untuk tujuan rasmi dan tidak melanggar Perkara 152 (1) Perlembagaan.’’ – Penghakiman kes keabsahan sekolah vernakular (29 Disember 2021)
Katanya, sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan berdasarkan latar belakang sejarah serta perundangan Perkara 152 (bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan) serta niat pihak yang menggubal perlembagaan ketika itu, penggunaan selain Bahasa Melayu bagi pengajaran di sekolah vernakular bukan untuk tujuan rasmi dan tidak melanggar Perkara 152 (1) Perlembagaan.