RABU, 5 JANUARI – Masalah teknikal di stesen MRT Phileo Damansara menyebabkan berlakunya kelewatan jadual perjalanan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail).
Dalam satu kenyataan Rapid Rail Sdn Bhd selaku operator kepada perkhidmatan MRT Laluan Kajang memohon maaf di atas kesulitan yang dialami pengguna.
Ini berikutan kelewatan jadual selepas sebuah tren bernombor 22 mengalami masalah teknikal ketika menghampiri stesen tersebut.
Tular di media sosial orang ramai berkongsikan keadaan di dalam tren yang sesak, dan rungutan mendakwa mereka yang bekerja di Lembah Klang mengalami kelewatan ke tempat kerja.
Pihak operasi telah mengaktifkan pelan servis alternatif dengan menggunakan satu landasan antara stesen Phileo Damansara dengan stesen Semantan.
Situasi ini telah menyebabkan pergerakan tren akan menjadi lebih perlahan dan berhenti lebih lama di platform.