RABU, 5 JANUARI – Seramai 1,846 mangsa banjir daripada 562 keluarga masih ditempatkan di 32 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi tadi.
Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang, jumlah itu membabitkan mangsa banjir dari Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Pekan, Rompin, Bera dan Raub.
Dalam pada itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Perak dan Selangor sehingga pukul 1 petang ini. Empat sungai di Pahang masih merekodkan bacaan melepasi paras bahaya, masing-masing dua di Bera dan Pekan.
Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai berkenaan ialah Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera yang merekodkan 32.01 meter (m), berbanding paras bahaya 30.50m.
Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera, merekodkan 26.43m, berbanding 26m, diikuti Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan mencatat bacaan 16.43m, berbanding 14.90m, manakala Sungai Pahang Tua di Rumah Pam Pahang Tua, Pekan merekodkan 10.65m, berbanding 9m.
Di Johor pula, Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 5,399 orang pada jam 8 pagi berbanding 5,364 orang pada 4 pagi Rabu. Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah itu melibatkan 1,340 keluarga di 81 pusat pemindahan sementara (PPS).
Daerah yang terjejas banjir ketika ini adalah Segamat, Tangkak, Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Muar dan Batu Pahat. Dan di Melaka Keadaan banjir semakin pulih selepas tujuh daripada 23 pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan sebelum ini telah ditutup.
Angka mangsa yang masih ditempatkan di 16 lagi PPS sekitar negeri itu juga berkurangan kepada 1,265 mangsa sehingga pagi ini berbanding 2,674 mangsa pada pagi Selasa.