SELASA, 4 JANUARI – Ini pula mengenai kes pendakwaan berhubung kes rasuah terhadap penjawat awam.
Seorang Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah 6.94 juta Dolar atau hampir RM25 juta.
Tertuduh Shahrum Nizam Baharuddin berusia 41 tahun, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Shahrum didakwa sebagai penjawat awam iaitu Penguasa Kanan SPRM, Gred P 44 dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas matawang 6.94 juta dolar Amerika dan melakukan pecah amanah terhadap harta berkenaan.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Bilik Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK) Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Februari ini untuk sebutan semula kes.