SELASA, 4 JANUARI – Jabatan Pengairan dan Saliran JPS memberi amaran bahaya bagi beberapa batang sungai di beberapa negeri yang melepasi paras yang ditetapkan.
Antaranya di Pahang, paras air Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang di Bera, Stesen Paya Gintong di Jerantut dan Sungai Pahang, Kuala Krau di Temerloh berada pada tahap bahaya dengan trend menaik.
Mangsa banjir, juga menunjukkan peningkatan di pusat pemindahan sementara PPS di Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah terus mencatat peningkatan pagi ini berbanding semalam.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, di Pahang, hujan berterusan menyebabkan pertambahan mangsa iaitu 2,188 masih berada di 51 PPS pada awal pagi ini, membabitkan lapan daerah.
Di Johor pula, Batu Pahat menjadi daerah ketujuh dan terbaharu terjejas banjir di negeri ini apabila 42 mangsa daripada 11 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) balai raya Kampung Haji Kamisan, setakat tengah hari ini.
Sungai di Segamat iaitu Sungai Lenik di Ladang Chaah dan Sungai Segamat di Bandar Segamat mencatat tahap bahaya dengan trend menaik manakala Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak berada tahap bahaya dengan tidak menunjukkan perubahan.
Sementara itu, di Sabah, jumlah mangsa terus meningkat kepada 2,435 daripada 874 keluarga setakat pagi ini berbanding 1,823 mangsa daripada 599 keluarga malam tadi. Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan setakat ini sebanyak 23 PPS dibuka enam daerah di negeri ini sejak Jumaat lalu.
Dalam pada itu, di Selangor, dua PPS di daerah Kuala Langat yang menempatkan 40 mangsa kembali dibuka semalam. Menurut JPS, Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat, juga berada pada tahap bahaya tetapi dengan trend menurun.
Di Melaka, jumlah mangsa meningkat kepada 2,537 mangsa daripada 656 keluarga setakat jam 8 pagi ini berbanding 1,778 mangsa daripada 462 keluarga pada jam 8 malam tadi.
Sungai Melaka di Melaka Pindah, Alor Gajah mencatat tahap bahaya tetapi dengan trend menurun, sungai sama di Batu Hampar, Melaka Tengah mencatat tahap bahaya dengan trend menaik manakala Sungai Kesang di Telok Rimba, Jasin pula mencatat tahap bahaya dengan tidak menunjukkan perubahan.
Di Terengganu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, jumlah mangsa banjir kekal 137 orang daripada 42 keluarga pagi ini di dua PPS di Dungun.