SELASA, 4 JANUARI – 14, 344 mangsa banjir daripada 4, 346 keluarga ditempatkan di 201 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan tujuh negeri yang dilanda bencana itu, setakat pagi tadi.
Menerusi portal Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan Johor mencatatkan angka tertinggi mangsa banjir iaitu 5, 310 mangsa daripada 1,470 keluarga di 82 PPS yang dibuka.
Di Sabah, 2, 698 mangsa banjir daripada 1,123 keluarga di 24 PPS. Manakala Di Melaka, seramai 2,648 mangsa daripada 687 keluarga ditempatkan di 22 PPS, diikuti Pahang 1,830 mangsa dari 552 keluarga di 48 PPS.
Bagi negeri Terengganu, 19 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di dua PPS, dan Selangor, seramai 40 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di dua PPS.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengekalkan amaran hujan berterusan kategori buruk dan waspada di beberapa kawasan di Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Sabah, sehingga tengah malam ini.