ISNIN, 3 JANUARI – Meskipun institusi kewangan menawarkan moratorium kepada mangsa banjir, namun cadangan supaya rakyat membuat pembiayaan peribadi tanpa faedah disifatkan tidak realistik.
Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad berkata desakan sesetengah pihak supaya kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan wang simpanan mereka juga bukan satu penyelesaian bijak.
Ketua Penerangan Berjasa, Hazwan Mohamad berkata :
“Negara tua tidak dapat tidak, akan dikaitkan dengan golongan pesara. Sekiranya golongan ini tidak mempunyai simpanan hari tua yang kukuh dan mencukupi, maka beban tanggungan itu bakal beralih kepada generasi muda (anak-anak).”
Beliau berkata, negara bakal menghadapi status negara tua pada tahun 2030 yang secara tidak langsung memberi impak dari sudut sosial dan juga ekonomi.
Berikutan itu, kerajaan perlu memiliki perancangan penjanaan persaraan yang baik untuk rakyat sebagai salah satu persediaan menghadapi ‘ageing population’ kelak.
Jelasnya, Generasi muda ini pula akan berhempas pulas mencari rezeki untuk diri sendiri, keluarga yang bakal dibina dan tanggungan orang tua mereka.
Generasi muda ini jugalah yang bakal berdepan dengan inflasi, kos sara hidup yang semakin tinggi dan gaji buruh yang tidak menunjukkan akan berlaku peningkatan yang ketara pun.
Hazwan menegaskan, semua perkara itu akan menatijahkan impak sosial dan ekonomi yang tidak genting untuk generasi masa hadapan.
Atas sebab itu, beliau tidak bersetuju dengan cadangan dan desakan untuk membenarkan pencarum mengeluarkan wang simpanan KWSP mereka.