ISNIN, 3 JANUARI – Sungai Langat di Bukit Changgang yang terletak di dalam daerah Kuala Langat kembali melepasi paras bahaya (merah) pada bacaan 4.29 meter (m).
Menurut laporan terkini di laman sesawang InfoBanjir, bacaan itu melepasi paras bacaan normal pada 4.20 m sehingga jam 8 pagi ini. Sungai Langat di Dengkil dalam daerah Sepang pula melepasi paras amaran jingga iaitu 7.07 meter berbanding bacaan normal 6.90 meter.
Tiga lagi sungai berada melepasi paras berjaga-jaga iaitu kuning, membabitkan Sungai Klang di Bandar Klang dalam daerah Klang pada bacaan 2.47 meter.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis mengesahkan enam keluarga membabitkan 15 individu berpindah selepas kawasan rumah mereka di Kampung Sungai Nangka, Banting, dinaiki air, susulan hujan berterusan serta air pasang besar bermula semalam.
Di Johor pula, daerah Mersing menjadi daerah keenam dan terbaharu terjejas banjir apabila seramai 366 penduduk daripada 90 keluarga dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara (PPS).
Ia menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri ini melonjak kepada 3,841 mangsa daripada 1,008 keluarga di 62 PPS, setakat pagi tadi manakala berbanding hanya 3,665 mangsa daripada 967 keluarga di 59 PPS di Johor, sebelum subuh tadi.
Sementara itu, di Pahang enam sungai di Negeri ini merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya, setakat awal pagi tadi.
Ia masing-masing satu di Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran dan Rompin.
Menurut info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 1,956 mangsa banjir daripada 616 keluarga masih berada di 53 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 8 pagi tadi.
Jumlah itu membabitkan sembilan daerah iaitu Pekan, Temerloh, Raub, Lipis, Bera, Maran, Rompin, Jerantut dan Kuantan.