ISNIN, 3 JANUARI – Sebanyak 13 laluan membabitkan lima daerah di Negeri Sembilan ditutup untuk semua kenderaan, manakala empat lagi hanya dibuka untuk kenderaan berat susulan jalan runtuh dan dinaiki air petang tadi.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan, Wan Hasnan Wan Musa, berkata laluan berkenaan membabitkan Tampin iaitu sebanyak tujuh jalan, Jelebu (empat), Jempol (tiga), Kuala Pilah (dua) dan satu di Seremban.
Antara jalan itu ialah Jalan Segamat-Gemas, Londah-Gemas, Jelai-Bahau, Jeram Toi, Kuala Klawang-Genting Peras, Felda Titi dan Stesen Pemancar Gelombang Telapak Buruk.
Pembukaan jalan ini akan dilakukan dalam tempoh terdekat selepas selesai kerja pembaikan selain bergantung kepada keadaan semasa jalan berkenaan selepas banjir. JKR akan sentiasa berusaha mencari jalan alternatif dan menguar-uarkan kepada pengguna,
Justeru, beliau menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan dan sentiasa berwaspada dengan papan tanda amaran banjir serta jalan ditutup selain menggunakan laluan alternatif untuk ke destinasi masing-masing.