SABTU, 1 JANUARI – Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan ibadah umrah bermula 8 Januari ini berikutan penularan jangkitan Omicron.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata larangan berkenaan akan kekal berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Katanya, tempahan tiket penerbangan perjalanan umrah yang baharu ditangguhkan berkuat kuasa, hari ini.
Ini susulan sebanyak 1,306 daripada 11,108 jemaah yang pulang menunaikan umrah dikesan positif COVID-19, setakat 30 Disember.
Khairy berkata, bagi jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci hari ini hingga tujuh Januari depan, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, namun perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin atau hotel seperti dikenal pasti oleh NADMA apabila tiba di Malaysia.
Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan berkata :
“…Hasil mesyuarat sudah mendapat persetujuan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri)… dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19…”
Susulan keputusan penangguhan umrah, Khairy berharap ia berupaya memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk membuat perancangan serta persediaan rapi dalam pengurusan jemaah, sebelum ibadat berkenaan dibenarkan semula.
Bagi jemaah yang bakal pulang ke tanah air, beliau berkata beberapa perkara perlu dipatuhi, merangkumi arahan ujian saringan sebelum pelepasan dan ketika ketibaan di Malaysia.