JUMAAT, 31 DISEMBER – Kerajaan berusaha memperlahankan gelombang penularan jangkitan COVID-19 menerusi varian Omicron bagi mengelak pelaksanaan langkah kawalan sekatan secara drastik.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika menegaskan perkara itu berkata, penularan varian membimbangkan (VOC) yang berasal dari Afrika Selatan itu sememangnya tidak dapat dielakkan
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah berwaspada, termasuk dengan melakukan saringan secara berkala khususnya jika ingin mengadakan pertemuan dengan ahli keluarga lain.
Khairy menyarankan agar saringan secara berkala jika anda ingin berjumpa dengan sanak-saudara. Katanya, Omicron tidak dapat dielakkan dan pihak kementerian masih lagi berusaha untuk membendung wabak itu.
Kementerian Kesihatan (KKM), Sabtu lalu memaklumkan, sebanyak 62 kes COVID-19 varian Omicron dikesan di Malaysia, dengan 61 kes adalah jangkitan import dari luar negara, manakala satu kes lagi masih dalam siasatan yang disyaki jangkitan tempatan.
Jumlah kes baharu Covid-19 hari ini mencatatkan peningkatan kepada 3,997 kes berbanding 3,683 kes yang direkodkan semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia melepasi 2.7 juta kes setakat ini.