JUMAAT, 31 DISEMBER – Banjir teruk membawa lumpur yang melanda negeri Pahang sejak seminggu lalu, bukan disebabkan faktor semula jadi, sebaliknya diburukkan aktiviti penggondolan hutan yang semakin berleluasa.
Penduduk kawasan ‘rentan’ di negeri Pantai Timur Semenanjung, khususnya Pahang, berdepan risiko banjir teruk setiap tahun sekiranya aktiviti ‘pembersihan hutan’ dibiar berterusan, tanpa sistem tadahan air sebagai ‘pelampung’.
Banjir yang melanda tidak akan seteruk sekarang, jika pembersihan hutan khususnya pembalakan dilakukan secara terancang dan terkawal.
Kelmarin kru TV Pertiwi meninjau di beberapa lokasi sekitar Pahang mendapati, negeri itu menunjukkan ciri ketidakstabilan aspek geologi, di mana geomorfologi perbukitan dan berlembah di negeri ini, menyebabkan bencana alam boleh berlaku secara tidak terkawal.
Penerokaan hutan di Pahang khususnya, semakin tidak terkawal. Sudah tiba masanya kerajaan melakukan sesuatu, termasuk membina sistem saliran alternatif di kawasan tanah tinggi di bahagian hulu bagi menyalurkan air terutama di kawasan aktif gondol ke kawasan landai di hilir secara sistematik terutama ketika hujan lebat berintensiti tinggi atau berdurasi lama.
Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) berkata :
“Boleh dikatakan, keseluruhan hutan di Pahang sedang nazak kerana Banjaran Titiwangsa paling luas di negeri itu, memberi kelebihan kepada Pahang”
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, pula berkata, permintaan kayu kayan dan durian Musang King untuk pasaran eksport menyebabkan lebih banyak hutan digondolkan.
Shariffa Sabrina mendakwa, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 sejak setahun lalu, ‘dimanfaatkan’ sebaiknya oleh syarikat pembalakan untuk melakukan kerja pembersihan hutan.