JUMAAT, 31 DISEMBER – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berkata, kejadian banjir teruk dan sisa kayu berselerakan di Karak dan Sri Telemong, bukan berpunca daripada kegiatan pembalakan, sebaliknya ia disebabkan fenomena ‘Kepala Air’.
Memetik kenyataan yang dikeluarkan JPNP, akibat hujan lebat yang berterusan selama tiga hari bermula 16 Disember sehingga 18 Disember lalu, mengakibatkan banjir besar di Bentong.
Ini disokong dengan data taburan hujan daripada Jabatan Pengairan Dan Saliran, JPS Daerah Bentong yang mencatatkan bacaan purata 155 milimeter pada 18 Disember 2021 yang dikategorikan sebagai sangat lebat.
Menurut JPNP lagi, sisa kayu itu daripada kejadian kepala air yang berlaku di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul yang berlaku pada 18 Disember 2021.
Namun, melalui tinjauan udara menggunakan ‘drone’ mendapati tiada sebarang aktiviti pembalakan secara sah atau haram sama ada di dalam Hutan Simpan Lentang, Tanah Kerajaan dan Tanah Milik di kedua-dua lokasi berkenaan.
Tambah JPNP lagi, banyak kesan tanah runtuh di kawasan berbukit di dalam Hutan Simpan Lentang, Tanah Kerajaan dan Tanah Milik yang membawa sisa debris terdiri daripada tanah-tanih, batu-batan dan pokok-pokok yang hanyut masuk ke dalam sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul akibat arus air yang sangat kuat menghentam di sepanjang laluan sungai-sungai itu.
Tegas JPNP, Tanah Kerajaan tidak boleh diusahakan, yang bersempadan dengan Hutan Simpang Lentang di sungai-sungai itu khususnya di kawasan yang sering berlaku.
Untuk rekod Hutan Simpan Lentang telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal dibawah Seksyen 10 APN 1984.