KHAMIS, 30 DISEMBER – Ini satu pendedahan yang dibuat oleh Aktivis Alam Sekitar di Pahang, Khaidir Ahmad.
Mengenai banjir lumpur dan dakwaannya mengenai aktiviti pembalakan haram di Pahang memberi kesan besar kepada banjir pada tahun ini melebihi kejadian yang pernah berlaku pada 1971.
Jelas Khaidir, beliau tidak mengatakan banjir teruk adalah disebabkan pembalakan haram semata-mata tetapi ia adalah salah satu punca rumah-rumah penduduk kampung di Kuala Sungai Semantan dan Lembangan Sungai Telemong, Pahang terjejas teruk.
Ahmad, Aktivis Alam Sekitar berkata :
“… Ada kejadian gelongsoran tanah, memang kita tak nafikan… Ini yang kita nak bagi tahu…”
Katanya, aktiviti pengondolan hutan terutamanya di Hutan Simpan di Pahang serta aktiviti penanaman sayur-sayuran di kawasan tanah tinggi di negeri Pahang, turut menyebabkan air hujan beberapa hari terus mengalir ke kawasan kuala dan tanah rendah, akibat hilang kawasan hutan yang berfungsi menjadi penampan kepada kejadian banjir berlaku secara semula jadi.
Khaidir Ahmad, Aktivis Alam Sekitar berkata :
“… Sebabnya ialah hutan simpan ni menjadi penampan air yang selama ini telah digondolkan… Tanah-tanah Musang King haram ni bukannya sedikit luasnya…”
Berikut adalah perkongsian salah seorang penduduk yang menerima kesan banjir teruk ke atas dirinya dan keluarga di Kuala Sungai Semantan yang dikongsikan oleh Khaidir Ahmad dalam hantarannya di Facebook.
Azman, Penduduk Kuala Sungai Semantan berkata :
“…. Saya tinggalkan rumah ni ke Pusat Perpindahan Banjir…. Rumah ni jadi serong lah, sebab pokok tumbang….”
Memetik hantaran Khaidir di Facebook, jika kawasan di hulu Sungai Semantan seperti Telemong dan Perdak menerima kesan terjahan ‘kepala air banjir lumpur balak’ yang sangat dahsyat seperti yang dipaparkan, kawasan di hilir juga tidak kurang kesan kemusnahannya walaupun kepala air sudah bertukar menjadi ‘ekor air banjir lumpur balak’.
Demikianlah begitu dahsyatnya musibah banjir lumpur balak yang membadai kehidupan rakyat marhaen di Lembangan Sungai Semantan di Daerah Bentong walaupun hujan lebat cuma dua hari.