KHAMIS, 30 DISEMBER – Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membuat keputusan menolak tindakan yang difailkan plaintif dalam kes mencabar keabsahan sekolah Vernakular di sisi Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan, kewujudan sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan atas alasan mereka bukanlah satu badan statutori atau pihak berkuasa tempatan yang wajib menggunakan bahasa kebangsaan.
Beliau berkata, kewujudan dan penubuhan sekolah-sekolah berkenaan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan malah kewujudannya telah diiktiraf dan dilindungi sejak merdeka.
Mahkamah berpendapat walaupun bahasa Melayu adalah bahasa nasional yang dipelihara di bawah Perkara 152, tetapi pengajaran pendidikan di sekolah bukan urusan awam seperti yang diputuskan dalam kes Universiti Merdeka di Mahkamah Persekutuan.
Atas dasar itu, mahkamah telah membezakan dan tidak menerima pakai keputusan Universiti Merdeka kepada kes sekolah vernakular.
Plaintif terdiri daripada empat pertubuhan iaitu gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).
Keempat-empat pertubuhan itu memohon untuk mendapatkan perisytiharan bahawa seksyen 2,17 dan 28 dalam Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan dua bahasa terbabit di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan peruntukan 152(1)(a) Perlembagaan.
Mereka juga memohon perisytiharan kewujudan dan penubuhan sekolah terbabit bertentangan dengan Perlembagaan.