RABU, 29 DISEMBER – Ahli ekonomi, Edmund Terence Gomez meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi di suruhanjaya berkenaan.
Gomez dalam surat letak jawatannya yang tular di media sosial berkata, timbul persoalan mengenai ‘hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa’ dan situasi ‘konflik kepentingan’ membabitkan pegawai tinggi SPRM serta dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham.
Menurutnya, bekas pegawai tinggi SPRM didakwa terbabit dalam situasi konflik kepentingan, sekali gus mencadangkan ‘ada suatu trend di institusi itu (SPRM) yang mesti disiasat segera’.
Cubaan beliau meminta supaya panel SPRM mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut melalui surat kepada Pengerusi Panel SPRM, Tan Sri Borhan Dolah pada 12 November, 26 November dan 14 Disember lalu juga tidak berhasil.
Katanya, Borhan hanya memberikan maklum balas segera terhadap surat pertamanya dengan memberitahu bahawa mesyuarat itu bakal diadakan dan diuruskan oleh pentadbiran SPRM manakala dua lagi suratnya tidak berbalas.
Gomez berkata, surat kedua yang dihantar pada 26 November itu mengandungi maklumat tambahan diterimanya daripada kajian yang menurut beliau sangat meluas dan disifatkan merisaukan.